+609 553 5555        hepa@uniqsaas.edu.my

Facebook
Youtube
Staf
Pelajar

Mahasiswa UNIQSAAS Sertai Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026

Mon - 27 Jul 2026

emaster

KUALA LUMPUR, 27 Julai 2026 – Seramai lima orang wakil pelajar Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS) telah menyertai Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan.

Konvensyen yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) itu turut melibatkan penyertaan daripada PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Majlis Pembukaan Konvensyen telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah.

Konvensyen ini menghimpunkan para ulama, cendekiawan, pengamal wakaf, pembuat dasar, ahli akademik, tokoh korporat serta pemimpin masyarakat dari dalam dan luar negara, sekali gus menjadi wadah penting dalam memperkasa kefahaman dan peranan wakaf dalam pembangunan ummah serta negara.

Delegasi UNIQSAAS telah diiringi oleh YBhg. Encik Abi Sofian bin Abdul Aziz, Penolong Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA). Turut hadir sama ialah YBhg. Encik Abdul Halim bin Abdul Karim, Ketua Jabatan Syariah UNIQSAAS.

Penyertaan ini bertujuan memberikan pendedahan kepada mahasiswa berkaitan inisiatif dan pengurusan wakaf, di samping memperkukuh kefahaman mereka terhadap peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan dakwah, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.

Majlis Penutupan Rasmi Konvensyen pula telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, sebagai tanda sokongan berterusan Kerajaan terhadap usaha memperkasa institusi wakaf sebagai pemacu pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

Penyertaan UNIQSAAS dalam konvensyen ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperluas penglibatan mahasiswa dalam program keilmuan, dakwah dan kemasyarakatan, selain membuka ruang kepada mereka untuk menimba pengalaman serta membina jaringan bersama tokoh dan pengamal wakaf dari dalam dan luar negara.

Loading...